KAITAN ANTARA BUDAYA DAN PERPADUAN
ADAKAH PERBEZAAN BUDAYA DAN ADAT DI MALAYSIA MENGEKANG KEKUATAN PERPADUAN MASYARAKAT ?
Secara umumnya, perbezaan budaya dan adat di Malaysia telah membentuk keunikan masyarakat di samping menonjolkan Malaysia sebagai masyarakat majmuk di mata dunia. Walaupun demikian, kita harus sedar bahawa perbezaan ini bagaikan bilah bermuka dua, ia juga mampu mencetuskan konflik antara kaum selain daripada memperkenalkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Justeru itu, isu perbezaan budaya ini seharusnya dipandang serius dan dihadapi dengan sikap positif, untuk mengelakkan kekangan kekuatan perpaduan masyarakat.
Antara faktor yang membawa kepada cetusan isu ini adalah kurang kefahaman mengenai sensitiviti kaum antara satu sama lain. Sebagai negara yang multietnik dan terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, masyarakat Malaysia seringkali berhadapan dengan isu-isu sensitif yang dicetuskan oleh perbezaan persepsi daripada budaya kaum yang berlainan. Sikap kurang kewaspadaan dalam perlakuan dan pertuturan dalam kalangan sekelompok masyarakat kadang-kala akan melemahkan lagi asas perpaduan dan merenggangkan hubungan antara kaum. Sikap masyarakat terutamanya generasi muda yang cepat bertindak atau bertutur daripada berfikir juga semakin memburukkan situasi. Isu-isu sensitif yang menyentuh soal perbezaan budaya dan adat dari segi agama, bahasa dan tradisi kaum, seperti persoalan kedudukan agama Islam yang mutlak dan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, kerap diungkit oleh sesetengah pihak juga akan semakin memecahbelahkan perpaduan masyarakat, dan seterusnya menggugat keamanan dan ketenteraman negara.
Selain daripada itu, prasangka yang wujud antara kaum akibat kepelbagaian budaya dan adat juga merupakan salah satu faktor yang mengekang kekuatan perpaduan masyarakat. Perbezaan budaya, terutamanya dari segi bahasa menyebabkan jarak sosial yang ketara. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk berkomunikasi dalam kalangan masyarakat, dan akibat daripadanya adalah masyarakat tidak dapat saling memahami antara satu sama lain. Ketidakfahaman yang ditimbulkan telah membawa kepada sikap prasangka dalam kalangan masyarakat yang masing-masing mempunyai pegangan agama, adat istiadat, budaya hidup yang berlainan. Sebagai contohnya, masyarakat Melayu yang menganuti agama Islam selalunya bermurah hati untuk bersedekah kepada masyarakat yang miskin, sedangkan amalan ini merupakan satu pegangan ajaran yang dituntut dalam agama Islam. Namun begitu, masyarakat lain mungkin akan bersalah faham dengan sikap murah hati masyarakat Melayu itu dan berprasangka bahawa masyarakat Melayu merupakan golongan kaya.
Meskipun terdapat banyak faktor berpunca daripada perbezaan budaya dan adat masyarakat yang mampu mengekang kekuatan perpaduan masyarakat, pelbagai inisiatif dapat dilakukan untuk mengatasi isu-isu yang tercetus, malah memperkasakan lagi perpaduan masyarakat. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya, asuhan anak-anak sejak kecil lagi amatlah penting untuk menanam semangat perpaduan dalam diri mereka. Anak-anak muda yang
diumpamakan sebagai tonggak pembangunan negara, juga harus dipupuk dan difahamkan dengan kepentingan cara hidup bermasyarakat. Sikap kesederhanaan dan toleransi juga harus diterapkan dan disuburkan dalam anak-anak muda kini untuk mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat. Anak-anak muda juga harus difahamkan dari awal lagi perbezaan budaya dan adat setiap kaum dalam masyarakat unik ini dan dididik supaya berfikiran terbuka untuk memahami, menerima dan juga menghormati perbezaan yang wujud dalam masyarakat.
Tambahan pula, kesanggupan dan kesedaran individu untuk merendahkan diri dan memahami kebudayaan dan adat resam kaum lain juga merupakan salah satu inisiatif yang dapat mengelakkan cetusan isu perbezaan budaya masyarakat yang mendatangkan masalah perpaduan. Pemahaman terhadap kebudayaan dan adat kaum lain dengan interaksi seperti menziarahi jiran yang berlainan kaum sempena hari perayaan juga membawa keseronokan kepada seseorang individu, di samping mengeratkan lagi hubungan etnik. Generasi muda, terutamanya golongan mahasiswa juga haruslah sentiasa mengingati tanggungjawab diri untuk memainkan peranan dalam usaha mempertahankan perpaduan masyarakat. Masyarakat juga sewajarnya menghargai kebebasan yang diberikan dari segi berucap dan bertindak supaya tidak melampaui batas sehingga keamanan masyarakat tergugat. Perpaduan masyarakat juga tidak sepatutnya dicabar dengan cara menyentuh isu-isu sensitif yang berkaitan dengan perbezaan budaya dan adat masyarakat.
Secara rumusnya, keunikan masyarakat majmuk di Malaysia mampu membangunkan negara di peringkat antarabangsa dan mencetuskan konflik pada masa yang sama. Perpaduan bangsa yang berlainan kaum serta budaya yang mutlak merupakan satu perkara yang amat sukar dan hampir mustahil untuk dikecapi. Namun begitu, cabaran ini haruslah disahut dengan berkobar-kobar sejajar dengan matlamat Wawasan 2020. Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersatu padu merupakan asas yang penting untuk membangunkan dan mengembangkan lagi negara. Faktor pencetus konflik harus diteliti di samping mengaplikasikan pendekatan yang bersesuaian untuk menjamin perpaduan masyarakat dan seterusnya kestabilan negara.
#AZURA1102
Penerangan yg bgus👍👍
BalasPadam